BIOGRAFI IMAM HASAN ASKARI (2)
  • Judul: BIOGRAFI IMAM HASAN ASKARI (2)
  • sang penulis:
  • Sumber:
  • Tanggal Rilis: 18:55:15 1-9-1403

RAHSIA YANG SUNGGUH LUAR BIASA
.
       Syeikh Thusi dengan sanad yang muktabar meriwayatkan daripada Basyir bin Sulaiman, seorang penjual hamba abdi yang berketurunan Abu Ayub Ansari dan seorang pengikut kepercayaan Imam Ali Hadi as serta Imam Hasan Askari as. Semasa Imam Hasan Askari tinggal di Samarra’ Basyir bin Sulaiman berkata,

       “Suatu ketika pembantu Imam Hasan Askari as telah datang ke rumahku dan menyatakan Imam Hasan Askari as ingin menemuiku. Ketika aku sampai di rumah Imam Hasan Askari as, beliau berkata, “Wahai Basyir bin Sulaiman, anda adalah daripada keturunan Abu Ayub Ansari. Kecintaan keluargamu terhadap kami Ahlul Bait tidak pernah pudar semenjak zaman Rasulullah SAW, hingga hari ini. Pada hari ini saya memilih dirimu kerana kecintaanmu terhadapku. Saya akan membukakan satu rahasia yang sungguh luar biasa dan saya ingin menyuruhmu membeli seorang tebusan.” Imam Hasan Askari as mengambil sehelai kertas lalu ditulis dengan Bahasa Rom yang dicap dengan cincinnya dan sebuah pundi uang yang berisi 220 keping emas lalu diberikan kepadaku seraya berkata, “Ambillah kertas dan uang ini. Pergilah ke Sungai Baghdad. Di kala petang pergilah ke sebuah jembatan di Sungai Baghdad karena ketika itu ada sebuah kapal akan berlabuh di situ. Anda akan dapati banyak orang tawanan perang akan dijual. Beberapa pembesar dari kalangan Abbasiah dan beberapa pemuda Arab akan berkumpul di situ untuk membeli orang tawanan perang tersebut. Nama penjual orang tawanan tersebut ialah Amru bin Yazid. Di sana kelak anda akan lihat seorang wanita tawanan perang yang memakai pakaian sutera manakala mukanya sentiasa ditutup. Kemudian anda akan mendengar dia berbicara dalam Bahasa Rom. Suatu ketika seorang pembeli mencoba untuk membeli wanita tersebut dengan katanya, “Saya ingin membeli wanita ini dengan harga 300 keping emas.” Kemudian wanita tersebut berkata, “Jika kambing milik Nabi Sulaiman a.s. bin Nabi Daud a.s. dan kerajaan beliau anda bawa di depanku sekalipun aku tidak akan menyerahkan diriku untukmu. Janganlah anda membuang uang anda.” Kemudian penjual tawanan perang akan berkata, “Saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan kepadamu. Setiap kali orang ingin membelimu, engkau menolak. Namun, jika tiada lagi tawanan perang, engkau terpaksa aku jual.” Wanita tersebut lantas menjawab, “janganlah tergesa-gesa untuk menjualku. Aku sedang menanti seseorang yang akan membeliku yang mana jiwaku serasi dengan pembeli tersebut.”
       “Wahai Basyir, ketika itu pergilah berjumpa penjual tawanan perang dan beritahu penjual tersebut dirimu membawa sepucuk surat dari seorang keturunan bangsawan yang di tulis dalam Bahasa Rom. lalu berikan surat ini kepada wanita tawanan perang tersebut. Jika wanita itu bersetuju, katakanlah dirimu adalah wakil dari Tuanmu yang bersedia untuk membeli tawanan wanita.” Tidak lama kemudian Basyir pun menurut perintah Imam Hasan Askari as dan setelah berjumpa tawanan wanita tersebut dia pun menyerahkan surat yang dibawanya. Setelah wanita tersebut membaca isi kandungan surat Imam Hasan Askari as, air matanya berkaca-kaca. Kemudian dia berkata kepada Amru bin Yazid, “Juallah aku kepada pembawa surat ini. Aku bersumpah jika anda tidak menjualku kepada pembawa surat ini.”

       Akhirnya, Amru bin Yazid menjual wanita tahanan perang tersebut dengan harga yang telah ditetapkan. Setelah membayar uang sebanyak yang diberikan Imam Hasan Askari as, maka Basyir bin Sulaiman pun membawa wanita tersebut ke Baghdad dan tinggal sementara di sebuah bilik yang disewa. Sesampainya di bilik tersebut wanita tawanan perang tadi membuka surat Imam Hasan Askari as lalu dicium surat tersebut beberapa kali.”
Basyir bin Sulaiman melanjutkan,

       “Ketika itu aku merasa heran lalu aku pun bertanya, “Kenapa anda mencium surat yang anda masih belum mengenali orang yang menulis surat tersebut?” Wanita bekas tahanan berkata, “Wahai pemuda yang masih belum mengetahui betapa dia adalah keturunan Rasulullah SAW. dan pemimpin dari keturunan Baginda. Ketahuilah olehmu diriku adalah putri Yasyuq, yaitu anak lelaki Raja Rom. Ibuku pula adalah putri kepada Syamun bin Hamun bin Shafa yaitu wakil dan orang kepercayaan selepas Nabi Isa as. Izinkan aku menceritakan kepadamu sesuatu peristiwa yang begitu luar biasa. Sesungguhnya datukku adalah Raja Rom yang berhajat untuk mengawinkan aku dengan anak saudaranya yang ketika itu aku baru berusia tiga belas tahun. Untuk merayakan majlis tersebut datukku telah memanggil para pendeta yang agung dan menjemput para ulama dari kaum Nasrani yang berjumlah 300 orang. Daripada kalangan para pembesar negara berjumlah 700 orang. Para pengawal tentera berjumlah 4,000 orang. Kemudian sebuah singgahsana telah didirikan yang dihiasi dengan permata yang mahal. Singgasana tersebut didirikan di atas 40 tiang yang kukuh. Segala berhala dan salib ditempatkan disudut yang tinggi manakala anak saudara datukku pun didudukkan di atas singgahsana yang telah dibangun. Setelah semua tersedia, beberapa Pendeta Kristian pun membaca beberapa perenggan kitab Injil. Tiba-tiba semua berhala dan salib yang dibina runtuh dan jatuh ke bumi. Singgasana yang begitu kukuh juga runtuh dan anak saudara datukku tersungkur ke bumi. Melihat kejadian tersebut para Pendeta Kristian merasa cemas lalu berkata kepada datukku, “Wahai Raja Rom, ketahuilah ini adalah petanda Agama Kristian yang kita anuti selama ini akan musnah.” Kemudian datukku menganggap ini adalah takdir yang tidak baik dan memerintah kepada para Pendeta dan para Ulama Nasrani supaya mendirikan singgahsana semula dan segala patung berhala serta salib ditempatkan ditempat asal. Kemudian datukku memerintah agar anak saudara lelakinya yang lain dikahwinkan denganku. Setelah semuanya selesai dan setelah anak saudara datukku duduk disinggahsana lalu upacara perkahwinan pun dijalankan. Ketika Pendeta Kristian mula membaca beberapa penggalan kitab Injil tiba-tiba istana datukku bergetar dan segala berhala serta salib jatuh ke bumi. Singgasana yang dibina kukuh juga turut runtuh bahkan kali ini lebih buruk dari sebelumnya. Datukku menjadi marah dan malu lalu majlis perkahwinanku pun ditunda. Sebelumnya aku telah bermimpi berjumpa dengan Nabi Isa as., Syamun bin Hamun yaitu ayah dari ibuku dan beberapa ‘Hawariyyun’ (wakil setelah Nabi Isa as) di istana datukku. Mimbar di istana datukku ketika itu dipenuhi dengan cahaya yang memancar sehingga menuju ke kaki langit. Kemudian datang pula Nabi Muhammad SAW bersama orang kepercayaannya yaitu Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib dan beberapa para Imam dari keturunan Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib yang menerangi istana dengan cahaya yang bergemerlapan. Kemudian Nabi Isa as pun menyambut kedatangan Nabi Akhir Zaman tersebut dengan penuh hormat. Nabi Muhammad SAW mengatakan kedatangannya adalah untuk menikahkan putri dari keturunan Syamun dengan putera dari keturunan Nabi Muhammad SAW. yaitu Imam Hasan Askari as. Kemudian Nabi Muhammad SAW mengatakan kepada Syamun, dunia akan menjadi mulia dengan terjalinnya dua keturunan yang agung bersatu. Kemudian Nabi Muhammad SAW menaiki singgasana istana membaca khutbah dan seterusnya menikahkan aku dengan Imam Hasan Askari as yang telah disaksikan para ‘Hawariyyun’ dan para Imam dari keturunan Rasulullah SAW.

       Ketika terbangun dari tidur, aku menjadi amat terkejut dan aku tidak memberitahu kepada siapapun walau bapa dan datukku. Namun, kerinduanku terhadap Imam Hasan Askari as semakin hari semakin mendalam. Jiwaku meronta-ronta sehingga aku tidak mau makan dan minum. Dari hari ke hari badanku menjadi kurus dan akhirnya, aku jatuh sakit. Telah ramai para tabib datang untuk merawatku namun penyakitku tidak juga sembuh. Melihat keadaan tersebut, datukku menghampiriku dan bertanya, jika ada sebuah permintaan dariku, akan aku kabulkan sehingga penyakitmu hilang seperti sediakala. Aku mengatakan kepada datukku bahawa aku berharap agar dia dapat membebaskan semua tahanan orang Islam yang merengkuk bertahun-tahun dalam penjara di bawah kekuasaannya. Aku berharap semoga dengan perbuatan tersebut, Nabi Isa as dan ibunya Maryam dapat memberi syafaat untuk kesembuhan diriku. Setelah datukku melakukan apa yang aku suruh, akhirnya penyakitku berangsur-rangsur semakin pulih dan seleraku semakin bertambah.

       Pada malam keempat belas aku telah bermimpi berjumpa dengan wanita yang paling mulia yaitu Fatimah az-Zahra binti Muhammad SAW dan Maryam binti Imran yang diiringi dengan seribu bidadari syurga. Kemudian Maryam binti Imran menghampiriku dan memperkenalkan Fatimah az-Zahra as kepadaku sehingga aku mengetahui beliau adalah semulia-mulia wanita dan daripadanya lahirlah Imam Hasan Askari as. Lalu aku pun memeluk beliau sambil menangis dan menyatakan tentang rinduku terhadap Imam Hasan Askari as. Kemudian Fatimah az-Zahra as mengatakan kepadaku bahawa bagaimana mungkin aku bisa bertemu dengan Imam Hasan Askari as, sedangkan diriku masih syirik kepada Allah SWT. Maryam binti Imran juga merasa jijik dengan agama yang aku anuti. Akhirnya, beliau mengajak aku beriman kepada Allah SWT. Fatimah az-Zahra’ menyatakan, jika aku beriman, Maryam binti Imran pasti gembira dan Imam Hasan Askari as pasti akan datang menemuiku. Oleh itu beliau menyuruhku mengucapkan, ‘Asyhadu Allailaha Illallah Wa Asyhaduanna Muhammada Rasulullah.’ Lalu aku pun mengucapkan dua kalimah Syahadah sebagaimana yang dikehendaki dan selepas itu Fatimah az-Zahra as mendakapku dan berkata, mulai saat ini siaplah untuk bertemu dengan keturunanku, Imam Hasan Askari as.
       Pada malam berikutnya aku bermimpi bertemu dengan Imam Hasan Askari as yang wajahnya penuh dengan cahaya kemuliaan. Dalam mimpi tersebut aku menyatakan kerinduanku terhadapnya. Imam Hasan Askari as mengatakan kelewatan kehadirannya kerana disebabkan sebelum ini diriku masih syirik kepada Allah SWT. Oleh karena kini aku sudah menjadi seorang Islam, mulai saat ini dia akan menemuiku setiap malam sehinggalah Allah SWT akan menemukan kami di alam nyata. Semenjak dari itu, pada setiap malam pasti aku bermimpi bertemu dengan Imam Hasan Askari as.”

       Sampai di situ Basyir bin Sulaiman bertanya,

       “Bagaimana pula anda boleh menjadi tawanan perang?” Puteri Raja menjawab,
       “Aku telah bermimpi berjumpa Imam Hasan Askari as dan beliau memberitahu, suatu hari kelak datukku akan menghantar laskarnya untuk berperang dengan kaum muslimin. Ketika itu aku akan ikut serta dalam peperangan tersebut. Tentera datukku akan mengalami kekalahan sehingga aku ditawan. Namun, mereka tidak mengetahui aku adalah cucunda Raja Rom. Ketika seorang tua yang mencoba membeliku sebelumnya, telah menanyakan namaku. Aku menjawab, “Namaku Narjis.” Orang tua tersebut bertanya lagi, “Anda itu orang Rom, tetapi anda bisa berbahasa Arab?”.

Aku menjelaskan pada Basyir bin Sulaiman, “Datukku menyuruhku mempelajari berbagai bahasa dan kebudayaan asing. Seorang wanita Rom yang pandai berbahasa Arab telah datang ke istana setiap pagi dan malam untuk mengajarku Bahasa Arab sehingga aku bisa berbicara Bahasa Arab dengan baik.”
.
       Sampai di situ Basyir bin Sulaiman menceritakan,
       “Lalu aku membawa Narjis ke Kota Samarra’ untuk menemui Imam Hasan Askari as. Ketika Narjis sampai di Samarra’, Imam Hasan Askari as menyambutnya dan bertanya kepada Narjis, bagaimana perasaannya setelah memeluk Agama Islam dan meninggalkan ajaran Kristian. Narjis mengatakan aku terlalu gembira dan tidak dapat ku ungkapkan dengan kata-kata.

       Imam Hasan Askari as meramaikan kehadiran Narjis dengan menyuruhnya memilih antara dua, pertama menerima 10,000 keping emas. kedua Imam Hasan Askari as akan menyampaikan khabar gembira untuknya. Narjis memilih harta karena dia tidak memerlukannya. Dia hanya ingin mengetahui khabar gembira yang akan disampaikan oleh Imam Hasan Askari as.

       Imam Hasan Askari memberi khabar gembira dengan berkata, Narjis akan melahirkan seorang bayi lelaki yang akan menjadi pemimpin dunia. Yang dimaksud adalah Imam Muhammad Mahdi aj yang akan memerintah dunia dengan penuh keadilan. Narjis bertanya, siapakah yang memberitahu Imam Hasan Askari as tentang anaknya itu. Imam Hasan Askari menjawab, Rasulullah SAW yang memberitahu tentang keistimewaan anak Narjis ketika Baginda menikahkannya.

      Setelah itu Imam Hasan Askari as bertanya kepada Narjis, karena apakah Nabi Isa as dan orang kepercayaannya, Syamun menikahkanmu. Dalam jawabannya, Narjis mengatakan karena untuk mendapat zuriat daripada Imam Hasan Askari as. Kemudian Imam Hasan Askari memanggil pembantunya yang bernama Kafur dan memintanya memanggil adiknya yang bernama Hakimah. Setelah dipanggil, Imam Hasan Askari as memperkenalkan Narjis kepada adik perempuannya. Kemudian Hakimah mendakap Narjis dengan rasa gembira dan riang.
Imam Hasan Askari as berpaling kepada Hakimah dan menyuruhnya membawa Narjis ke rumahnya. Beliau juga meminta adiknya supaya mengajar Narjis tentang kewajiban seorang Muslimah sejati.”

DIRACUN
.
       Pada tahun 260 Hijrah, Khalifah al-Mu’tamid telah mengarahkan supaya Imam Hasan Askari as diracun agar pemerintahannya kekal dan tidak diganggu gugat Imam Hasan Askari as. Menjelang kesyahidan Imam Hasan Askari as, Abu al-Adyan telah dipanggil untuk menghantar beberapa surat ke beberapa daerah. Ketika itu Imam Hasan Askari as sedang sakit parah akibat diracun Khalifah al-Mu’tamid. Imam Hasan Askari as berkata,
       “Setelah 15 hari segeralah pulang, kerana ketika itu Kota Samarra’ akan diselubungi kesedihan. Ketika itu bersedialah untuk menguruskan jenazahku.” Abu al-Adyan berkata,
       “Wahai Tuan, setelah ketiadaanmu, siapakah yang akan memimpin dan menggantikan tempat tuan?” Imam Hasan Askari as menjawab,
       “Seseorang yang meminta jawaban daripada suratku itu maka dialah Imam sesudahku.”
       “Apakah ada tanda lain?” Tanya Abu al-Adyan lagi.
       “Seseorang yang mengimamkan sembahyang jenazahku, dialah yang bakal menjadi penggantiku.”
       “Adakah tanda lain?” Tanya Abu al-Adyan lagi.
       “Seseorang yang memberitahu jumlah uang yang ada dalam pundi uang milik seseorang, dialah Imam selepasku.” Lalu Abu al-Adyan pun menuju ke Madinah untuk menyampaikan surat yang dibawa dan meminta jawaban daripada surat tersebut. Seterusnya pada hari ke15 yaitu pada 3 Rejab tahun 260 Hijrah, Abu al-Adyan pun kembali ke Samarra’. Ketika sampai di rumah Imam Hasan Askari as, terlihat banyak orang dalam keadaan kesedihan. Mereka mengatakan bahawa Imam Hasan Askari as telah meninggal dunia. Abu al-Adyan melihat adik Imam Hasan Askari as yang bernama Ja’far bin Imam Ali Hadi as duduk di sebelah jenazahnya. Ja’far bin Imam Ali Hadi as yang tidak digemari banyak orang kerana sifatnya yang sering berfoya-foya dan berakhlak buruk juga kelihatan dalam keadaan sedih. Abu al-Adyan berkata dalam hati,
       “Jika dia yang dimaksudkan sebagai pengganti Imam, sudah pasti Agama Islam akan menjadi bentuk lain, karena setahuku dia adalah seorang yang pemabuk dan suka hiburan.” Lalu Abu al-Adyan pun mengucapkan takziah kepadanya namun, dia tidak meminta sesuatu pun. Kemudian pembantu Imam Hasan Askari as datang dan berkata kepada Ja’far,
       “Abangmu sudah dikafankan. Mari kita sembahyangkan jenazahnya.” Kemudian Ja’far pun berdiri dan orang ramai ikut berdiri dibelakangnya. Kini jenazah Imam Hasan Askari as diletakkan di tengah kawasan lapang dan Ja’far pun bersiap sedia untuk mengimamkan sembahyang jenazah. Ketika Ja’far akan mengangkat tangan untuk takbiratul-ihram, tiba-tiba seorang anak lelaki berusia lima tahun yang bercahaya mukanya serta putih giginya laksana untaian mutiara menarik jubah Ja’far dan menegur,
       “Wahai saudara ayahku, nanti dulu. Sayalah yang layak mengimamkan jenazah ayahku.” Ja’far berubah wajah dan terpaksa memberi tempat dan anak Imam Hasan Askari as lalu mengimamkan jenazah ayahnya. Setelah selesai, anak Imam Hasan Askari as berpaling kepada Abu al-Adyan dan berkata,
       “Berikanlah kepadaku surat jawaban yang ada padamu.” Maka Abu al-Adyan pun memberi surat tersebut. Dua petunjuk dari anak Imam Hasan Askari as sudah diketahui Abu al-Adyan. Dia masih menanti satu lagi tanda sebagaimana yang diberitahu Imam Hasan Askari as menjelang kesyahidannya.
       Orang banyak menjadi bingung dengan kejadian yang baru disaksikan. Mereka bertanya kepada Ja’far,
       “Siapakah anak tersebut?” Ja’far menjawab,
       “Demi Allah, aku tidak mengenalinya dan aku belum pernah melihatnya.” Tidak lama kemudian beberapa jamaah dari kota Qom telah datang dan bertanya tentang Imam Hasan Askari as. Setelah mereka mengetahui beliau telah meninggal dunia lalu mereka bertanya,
       “Siapakah Imam selepas beliau?” Maka orang ramai menunjukkan kepada Ja’far. Jamaah dari Qom menghampiri Ja’far dan mengucapkan takziah sambil berkata,
       “Di sini kami ada beberapa pucuk surat dan pundi yang berisi uang. Silahkan beritahu kami dari manakah surat tersebut dan berapakah jumlah uang didalam pundi ini. Kemudian barulah kami mengaku anda adalah imam selepas Imam Hasan Askari as.”
Ja’far berkata,
       “Mereka bertanya kepadaku tentang ilmu ghaib.” Tiba-tiba pembantu anak Imam Hasan Askari as muncul dan berkata,
       “Kamu semua membawa surat dari Fulan bin Fulan dan pundi uang yang dalamnya berjumlah 1,000 keping wang emas.” Jemaah dari Qom merasa gembira lalu menyerahkan surat dan uang tersebut dan berkata,
       “Orang yang menyuruh anda mengambil surat dan pundi uang ini, maka beliau adalah Imam di zaman ini.” Maka pembantu tadi memperkenalkan Tuannya yang bernama Imam Muhammad Mahdi bin Imam Hasan Askari yang akan mewarisi kepimpinan ayahnya.
       Akhirnya,  pada 8 Rabiul Awal tahun 260 Imam Hasan Askari as wafat dan jenazah beliau disemayamkan bersebelahan makam ayahnya di Samarra’. Bnyak orang mengiringi jenazah beliau. Pasar menjadi sepi pada hari itu. Keluarga Bani Hasyim, para panglima perang, para pembesar dan para ulama berbaris menjadi lautan manusia mengiringi jenazah Imam Hasan Askari as untuk disemayamkan.

catatan :
[1]  Surah al-Mukminun ayat: 115